Panel syariah bezakan saham amanah

PELUANG pelaburan dalam unit amanah Islam timbul bukan semata-mata untuk mewujudkan pilihan kepada unit amanah konvensional, tetapi ia sememangnya diperlukan bagi memenuhi kepentingan pelabur-pelabur Islam. Pengenalannya turut menarik minat sebahagian besar pelabur bukan Islam kerana pulangan yang dihasilkan adalah sebanding dan kadang-kala lebih dari unit-unit konvensional.

Prosidur dan cara operasi dana-dana amanah Islam adalah lebih-kurang sama dengan cara konvensional. Yang membezakannya ialah kewujudan panel syariah bagi memantau dan memastikan unit amanah Islam yang ditawarkan adalah diurus dan ditadbir berlandaskan hukum syariah. Individu berkelayakan yang terpilih menduduki panel Syariah dalam setiap syarikat pengurus akan bekerjasama dengan Majlis Penasihat Syariah (SAC) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam mempastikan dana-dana Islam mempraktikkan keperluan syariah dalam setiap sudut operasi dan pelaburan yang dijalankan. Dana-dana Islam ini hanya akan melabur dalam portfolio ‘halal’ dan sekuriti-sekuriti yang diterbitkan berlandas prinsip Islam.

Dana Islam yang melabur dalam portfolio saham halal contohnya, tidak akan melabur dalam kaunter-kaunter saham di mana syarikat tersebut terlibat dengan aktiviti, produk atau perkhidmatan seperti perbankan, insurans dan perkhidmatan kewangan konvensional, perjudian, memproses/memasarkan minuman keras dan makanan-makanan yang tidak halal (seperti yang mengandungi daging babi).

Khidmat panel syariah penting dalam industri untuk menjaga kepentingan pelabur. Secara ringkasnya, panel syariah adalah bertanggungjawab dan berkewajipan ke atas perkara-perkara seperti berikut:-

* Bertanggungjawab memberi nasihat kepada para pengurus berkenaan urusan pentadbiran dana Islam, perihal struktur dan operasi, serta dalam proses pelaburan yang dijalankan.

* Memastikan perjalanan dana-dana Islam mematuhi segala ketetapan dan peraturan yang diputuskan oleh SC berkenaan hal-hal unit amanah dan syariah.

* Merujuk kepada SC, yang kemudiannya merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah, untuk mendapatkan khidmat nasihat sekiranya terdapat ketidakpastian dalam aspek khas urusan unit amanah Islam.

* Meneliti laporan pematuhan (compliance report) yang disediakan oleh pejabat pengurus, laporan transaksi selepas atau sebelum disahkan oleh pemegang amanah dan lain-lain laporan yang berkaitan, dengan tujuan setiap prinsip syariah telah dipatuhi.

* Menyediakan satu laporan pengesahan sama ada satu-satu dana itu telah diurus mengikut syariah, untuk disertakan sebagai satu laporan interim atau tahunan.

* Menyemak dan memberi nasihat terhadap bahan-bahan yang akan digunakan dalam mempromosikan dana syariah.

* Menghadirkan diri dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan dari masa ke semasa oleh SC atau mana-mana pihak berkuasa, berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dana amanah dan syariah.

* Menjawab keraguan pelabur berkenaan hal-hal syariah, yang bersangkutan dengan unit amanah yang ditawarkan.

Kewujudan panel syariah mempastikan dana-dana Islam yang dilancarkan bukan terbit atas nama sahaja. Peranan dimainkan meningkatkan keyakinan pelabur bahawa operasi dan cara pelaburan dana amanah Islam yang ditawarkan tidak akan menyimpang hukum syariah Islam.

Filed in: Unit/Saham Amanah Malaysia di Media

by: Arif

1 Comment

Prospektus: Kepentingan pemahaman sebelum melabur

(Sambungan dari minggu lepas)
RATA-RATA prospektus yang diterbitkan di Malaysia adalah dalam bahasa Inggeris, begitu juga istilah yang digunakan oleh industri. Atas permintaan pembaca, kami pada minggu ini membawa kepada pembaca makna ungkapan dan singkatan istilah yang kebiasaannya ditulis dalam bahasa Inggeris itu.

Ungkapan atau singkatan dalam bahasa Inggeris dengan maksud dalam bahasa Malaysia:

Bull Market

Keadaan dimana pasaran saham mengalami kenaikan nilai, selama kira-kira 12 bulan.

Bear Market

Keadaan dimana pasaran mengalami kejatuhan yang mana nilai merosot sehingga 15 peratus secara keseluruhan atau lebih.

Blue-chip

Saham syarikat-syarikat yang besar, saham mewah, yang mempunyai rekod keuntungan dan dividen yang kukuh.

Bond

Bon; sekuriti pendapatan tetap, merujuk kepada pinjaman yang diberikan oleh pembeli Bon kepada pihak yang menerbitkan bon (seperti syarikat dan kerajaan), yang mana pembeli akan mendapat bayaran berkala berserta keuntungan. Maturity Date ialah tarikh tempoh sesuatu bon itu akan matang, dan Face Value ialah jumlah wang yang akan diterima oleh pembeli bon pada tempoh matang nanti, manakala Coupon Rate ialah kadar keuntungan yang diperoleh berdasarkan peratusan tahunan dari Face Value sesuatu bon.

Bond Fund

Dana yang menjurus kepada pelaburan sekuriti berpendapatan tetap yang mengutamakan pulangan dan pendapatan stabil kepada p_0emegang unit.

Equity Fund

Dana yang menjurus kepada pelaburan saham dan mengutamakan peluang kenaikan modal kepada pemegang unit.

Balanced Fund

Dana Seimbang; gabungan pelaburan ekuiti dan bon.

Capital Gain

Keuntungan daripada jualan sesuatu sekuriti.

Close-end fund

Dana yang mempunyai modal yang tetap, dengan unit-unit untuk jualan yang terhad, kebiasaannya diurusniagakan di pasaran terbuka dan harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

Cum-Dividend

Merujuk kepada harga unit dimana pembeli berhak menerima agihan dividen yang berikutnya berkaitan dengan unit amanah tersebut.

Dividend

Dividen; Keuntungan syarikat atau dana amanah yang diagihkan kepada pemegang saham atau unit.

Dollar Cost Averaging

Pelaburan berdasarkan prinsip RM kos purata, yang dibuat secara tetap dan berterusan, dengan keuntungan turut dilaburkan semula. Apabila harga jatuh, lebih unit akan diperoleh dengan pembelian pada paras harga rendah.

Equities

Pelaburan dalam saham.

Expense Ratio

Nisbah Perbelanjaan Pengurusan, yang merujuk jumlah keseluruhan caj untuk mengurus sesuatu dana, tidak termasuk komisen.

Financal Period

Tempoh terakru, iaitu tempoh setiap 12 bulan tahun kewangan di mana akaun ditutup dan dikira.

Hedging

Strategi melindung nilai sesuatu pelaburan.

Securities

Sekuriti; terma yang digunakan untuk merujuk kepada pelaburan seperti saham, bon, atau pelaburan tunai.

Islamic Securities

Merujuk kepada sekuriti tersenarai di Bursa dengan kepatuhan Syariah seperti yang diluluskan yang oleh Majlis Penasihat Syariah SC dan sebagaimana garis panduan panel syariah pengurusan dana, serta sekuriti Bon Islam seperti Bon Korporat, Cagamas Mudharabah Bon, Sukuk, dan lain-lain instrumen pasaran kewangan Islam dan pelaburan Islam yang diterbit dan dijamin korporat, kerajaan dan agensinya.

Liquid/Liquidity

Istilah yang digunakan untuk menerangkan aset-aset yang mudah ditukar kepada tunai.

Load

Caj komisen yang dikenakan oleh sebilangan pengurus dan pakar kewangan kepada pembeli unit.

Open-end fund

Dana yang boleh dibeli dan dijual secara berterusan, yang mana saiz dana akan bertambah atau berkurang mengikut jumlah penawaran dan permintaan.

Portfolio Manager

Pengurus Dana, yang mengendalikan urusan pelaburan.

Returns

Pulangan pelaburan dalam bentuk peratusan, merujuk kepada keuntungan atau kerugian sesuatu pelaburan.

SC Act

Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

The Deed

Surat ikatan; satu dokumen perundangan yang dipanggil yang menggariskan tanggungjawab dan hak tiga pihak yang terlibat dalam unit amanah ini iaitu pengurus, pemegang amanah dan pelabur. Surat ikatan menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah harus beroperasi dan diuruskan, serta bagaimana cara menentukan kadar bayaran, caj dan yuran.

Yeild

Kadar keuntungan atau pendapatan dalam pasaran bon.

Fahamilah kandungan prospektus dana. Para pelabur sewajarnya hendaklah mencuba mendapatkan prospektus dana sebagai bantuan dalam membuat pertimbangan pelaburan. Buku prospektus ini mudah diperoleh dari pejabat perniagaan pengurus dana, melalui ejen-ejen individu, di cawangan atau pejabat wakil penjual. Adalah penting untuk pelabur memahami sepenuhnya berkenaan pelaburan ini, untuk menilai aspek risiko dan potensi faedah unit amanah ini.

Perkara-perkara berikut perlu diteliti dan difahami melalui sesebuah prospektus:

Jenis skim pelaburan amanah yang ditawarkan.

Jenis dana, objektif dan polisi agihan.

Jumlah yuran, caj dan perbelanjaan yang perlu ditanggung.

Kemudahan transaksi, seperti hak tempoh percubaan dan pemindahan dana.

Laporan dan maklumat pelaburan yang akan peroleh dari masa ke semasa.

Hak anda sebagai pelabur/pemegang unit.

Nota: Artikel ini disediakan dengan kerjasama BIMB Unit Trust Management Berhad (Talian Bebas Tol: 1-800-88-1196). Penulisan ini bukan satu pelawaan kepada pembaca untuk membuat pembelian ataupun jualan tetapi sekadar pendidikan.

Sila hantar soalan atau maklum-balas ke e-mel: editor3a@letterboxes.org untuk dimuatkan dalam siri soal-jawab di penghujung setiap topik.

Filed in: Unit/Saham Amanah Malaysia di Media

by: Arif

3 Comments

Skim pelaburan KWSP masih untung

BARU-baru ini, industri unit amanah di negara dikejutkan dengan laporan akhbar bahawa 80 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melabur dalam unit amanah, mengalami kerugian sebanyak RM600 juta.

Biarpun mengakui terdapat pencarum yang kerugian, Persekutuan Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM) mempertikaikan angka yang diberikan. Menurut Presidennya, Tunku Datuk Ya‘acob Tunku Abdullah dalam temubual di sini, jumlah itu adalah kecil biarpun pandangan lain mengatakan ia jauh lebih besar.

Kata beliau, kerugian itu disebabkan oleh pelbagai faktor dan bukan kerana ketidakcekapan pengurus dana.

Isu komisen jualan semasa adalah ketentuan pasaran dan hanyadikaji apabila perlu.

Berikut adalah temubual itu.

FMUTM sebelum ini mempertikai jumlah kerugian RM600 juta yang ditanggung para pencarum KWSP tetapi tidak pula menafikan perkara itu berlaku. Apa yang sebenarnya berlaku?

Kami tetap berpendirian bahawa adalah penting untuk mengetahui bagaimana jumlah kerugian itu diperoleh sebelum kami dapat memberi komen lanjut. Kecuali diperkukuhkan oleh fakta dan perangkaan yang boleh dipercayai, ia telah menyebabkan keadaan panik dan kebimbangan yang tidak wajar kepada para pelabur, dan secara tidak adil merosakkan kepercayaan dan keyakinan dalam industri dan pasaran modal.

Jadi, mana satu yang benar?

Pada ketika ini, kami tidak pasti sekiranya kerugian yang dilaporkan telah mengambil kira para pencarum yang telah mendapat keuntungan, menebus dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun mereka; para pencarum yang mendapat keuntungan dan kemudiannya melabur semula ke dalam dana-dana yang lain; penukaran kepada akaun biasa selepas mencapai usia persaraan, yang dengan itu meninggalkan sistem KWSP; kematian dan lain-lain ketidakmampuan.

Kenapa pula?

Sebagai contoh, seorang pencarum yang melabur sebanyak RM100,000 dan akhirnya mengeluarkan RM120,000. Kemudiannya, beliau melabur semula RM120,000 pada akhir tahun, pelaburan beliau adalah sebanyak RM117,000. Dalam senario sebegini, jika anda mengabaikan keuntungan yang sebelumnya, beliau rugi sebanyak RM3,000, tetapi sebenarnya, pencarum itu telah mendapat RM17,000.

Ketika ini, terdapat 11 juta akaun pemegang unit yang diurus oleh syarikat pengurusan unit amanah. Oleh kerana, pelaburan dalam unit amanah mempunyai beberapa tahap risiko, terdapat para pelabur yang untung, beberapa pula mencatat kerugian dan yang lainnya mendapat keuntungan/kerugian yang belum terperoleh pada mana-mana satu ketika. Bagaimanapun, perubahan mendadak dalam nilai pelaburan berbeza bagi para pelabur jangka panjang kerana ia cenderung kepada keadaan lebih lancar dan tenang, dan akhirnya memberi pulangan memuaskan. Waktu pelaburan dibuat juga amat penting. Sebagai contoh, sekiranya anda membeli dana ekuiti pada tahun lepas, anda mungkin tidak akan menikmati pulangan yang memuaskan akibat pasaran saham lemah tetapi dalam jangkamasa panjang, anda akan dapat mencapai objektif pelaburan. Adilkah untuk kita mengatakan kumpulan ini menanggung kerugian pada ketika ini apabila objektif pelaburan mereka ialah selama lima hingga 10 tahun?

Terdapat pandangan mengatakan jumlah kerugian itu melibatkan satu angka yang lebih besar? Jadi apa komen FMUTM?

Kami tidak boleh memberi komen ke atas soalan yang berunsur hipotesis kerana ianya tidak berdasarkan fakta dan perangkaan yang pasti dan kukuh

Sejauh mana masalah ini disebabkan oleh ketidakcekapan para pengurus dana atau tindakan ejen-ejen jualan sendiri ‘mengabui mata’ para pencarum supaya melabur?

Prestasi sesuatu dana boleh dipengaruhi oleh satu atau lebih daripada faktor-faktor seperti keadaan pasaran menyeluruh, waktu pelaburan dibuat, pasaran berkitaran beberapa sektor seperti perladangan atau saham teknologi, keadaan geo-politik, perubahan terhadap polisi kewangan dan fiskal. Industri unit amanah amat berstruktur dan dikawal dengan baik. Terbina di dalam sistemnya adalah sifat kebertanggungjawaban dan ketelusan bertahap tinggi yang dikenakan ke atas pengurus dana, jadi isu ketidakcekapan tidak berbangkit. Begitu juga syarikat pengurusan unit amanah yang bertanggungjawab ke atas tindakan konsultan unit amanah mereka, dan terdapat pelbagai garis panduan dan undang-undang kecil yang mengawal aktiviti para konsultan unit amanah.

Kita boleh menyalahkan pasaran saham tempatan sebagai antara punca kerugian tetapi terdapat juga syarikat-syarikat pengurus dana yang meraih untung yang baik. Tidakkah kerugian itu, boleh berkait dengan prestasi pengurus dana?

Terdapat pelbagai jenis dana unit amanah seperti ekuiti, pendapatan tetap, dana seimbang, dana harta atau dana modal dijamin yang sesuai dengan objektif pelaburan yang terpelbagai. Maka, tindak balas dana-dana sedemikian adalah berbeza-beza mengikut keadaan pasaran. Oleh itu, para pelabur sentiasa harus mengambil inisiatif untuk bekerja secara rapat dengan konsultan unit amanah bagi merancang peruntukan aset yang wajar, mengenal pasti dana yang sesuai dan mengambil peluang ke atas kitaran pasaran dengan sebaik mungkin.

Mungkinkah apa yang berlaku dapat dielakkan sekiranya tidak wujudnya penjualan unit amanah ini tidak dibuat melalui pihak ketiga atau ejen jualan yang dikatakan lebih ghairah mengejar komisen berbanding turut memajukan industri?

Semua konsultan unit amanah yang layak mempunyai keperluan dan pengetahuan minimum sebelum mereka dibenarkan mempromosi dan memasarkan unit amanah. Ianya merupakan satu peraturan serta keperluan bagi konsultan unit amanah untuk memberi prospektus kepada bakal pelabur dan menjelaskan kepada mereka tentang risiko-risiko dan manfaat-manfaat yang terlibat menerusi pelaburan dalam unit amanah, objektif pelaburan dana, dan caj yang akan ditanggung serta lain-lain lagi. Oleh itu, pelabur boleh mendapatkan penerangan apabila terdapat keraguan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburan.

Sebagai tambahan, konsultan unit amanah menawarkan khidmat khusus yang memerlukan komitmen yang mantap serta etika kerja yang kukuh, sebagai contoh, senang didekati pada bila-bila masa. Komisen yang dibayar adalah untuk masa dan usaha yang terlibat serta kos yang ditanggung dalam memberi khidmat nasi

Filed in: Unit/Saham Amanah Malaysia di Media

by: Arif

2 Comments

Interview with a Unit Trust Leader

Azizah pernah ‘cuci rambut’ kawan untuk cari duit poket

Azizah.

Mukadimah
SEBAHAGIAN daripada kita mungkin pernah dilanda rasa bosan dengan pekerjaan yang dilakukan. Berpuluh tahun melakukan rutin sama sehingga kadangkala bagaikan ‘mengheret’ kaki ke pejabat setiap pagi.

Terikat dengan pelbagai komitmen, keinginan untuk berubah kerjaya kerap terbantut apatah lagi apabila gagal mencari kerjaya lain yang sesuai.

Begitupun, bak kata Pengurus Agensi Kumpulan (GAM) Public Mutual, Azizah Saad, 39, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Setiap perubahan yang ingin dilakukan pasti ada risiko, terpulang kepada kemahuan dan keazaman untuk menjayakannya.

Ini juga adalah antara kunci kejayaan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Sharifah Aisyah Akmal Syed Ahmad Akmal, 14, Syed Aiman Akmal, 12, dan Syed Aniq Akmal, sehingga meraih gelaran sebagai perunding unit amanah nombor satu bagi bumiputera dan ke dua terbaik bagi keseluruhan di Public Mutual.

Ikuti temu bual bersama wartawan, Siti Zaleha Jorimai dan jurugambar, Halim Khalid bersama wanita cemerlang ini.

Keluarga: Apakah sebenarnya unit amanah?

Azizah: Unit amanah ialah skim pelaburan kolektif yang diurus secara profesional dengan mengumpulkan wang seorang individu dan ribuan pelabur lain. Pengurus pelaburan yang pakar kemudian akan melaburkan wang tersebut bagi pihak pelanggan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut matlamat pelaburan dana tersebut

Apa pula peranan perunding unit amanah (UTC) seperti anda?

Secara profesionalnya, kami bolehlah dikatakan perunding perancang kewangan. Kami membantu individu merancang simpanan mereka dalam tempoh sederhana (tiga tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun).

Setiap orang mempunyai matlamat berbeza. Di sinilah peranan kami bermula, dengan memberi pelan perancangan simpanan yang bersesuaian dengan individu tersebut.

Kami sekadar memberi panduan. Pilihan dan bentuk simpanan masih terpulang kepada individu berkenaan. Memanglah pelaburan yang dibuat ada turun naik mengikut harga pasaran, tetapi risikonya amatlah rendah dan kita boleh mengendalikan risikonya dengan baik

UTC yang komited dan terlatih akan membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan tersebut.

Mungkin anda ada panduan dalam memilih unit amanah yang terbaik?

Pertamanya, individu tersebut perlu memahami objektif simpanan tersebut sama ada untuk pendidikan, pembelian harta, simpanan untuk hari tua dan sebagainya. Seterusnya, mereka mesti bijak mencari syarikat pengendali unit amanah yang konsisten dalam memberi pulangan dan keuntungan.

Komitmen seorang UTC juga penting bagi individu tersebut mendapat khidmat nasihat yang terbaik terhadap pelaburan mereka.

Bagaimana mahu dari segi membina kerjaya sebagai UTC berjaya?

Kerjaya ini menjanjikan pendapatan mengikut seberapa banyak anda mahu. Apa yang penting kesungguhan dan kesanggupan untuk berkerja keras kerana kerjaya ini adalah perniagaan anda dengan modal serendah RM247.50 (yuran peperiksaan Persekutuan Pengurusan Unit Amanah Malaysia sebagai lesen menjadi UTC).

Dalam pada masa sama, pastikan syarikat yang disertai mempunyai catatan rekod yang cemerlang dan konsisten dalam memberi keuntungan kepada perunding dan pelabur.

Bagi saya ada tiga kunci utama untuk berjaya dalam bidang ini iaitu komitmen, boleh menerima tunjuk ajar dan keinginan atau kemahuan yang tinggi. Dengan ketiga-tiga ciri ini sesiapa pun boleh buat tidak kira lepasan universiti atau lulus sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (kelayakan minimum).

Boleh ceritakan perjalanan anda dalam mencapai kejayaan seperti sekarang?

Selepas tamat kursus kesetiausahan di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) pada 1989 saya sempat bekerja sebagai setiausaha di bank. Sekian lama bekerja di situ, saya sedar kerja makan gaji tidak membawa saya ke mana-mana.

Saya kuat percaya untuk kaya hanya dengan berniaga. Dalam Islam sendiri menyebut sembilan daripada 10 rezeki melalui perniagaan.

Sebenarnya, dari zaman sekolah lagi saya sudah pandai cari duit sendiri. Saya bekerja di restoran dengan umpah RM4. Keluarga saya orang susah, bapa kerja nelayan dan emak pula suri rumah. Abang dan kakak saya tidak berpeluang bersekolah tinggi semata-mata untuk memberi laluan kepada adik-adiknya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Ketika ditawarkan masuk ITM, berdikit-dikit ayah kumpul duit untuk bayar yuran dengan dibantu abang. Masa di kolej juga saya cuba cari duit sendiri. Saya ‘ambil upah’ mencuci rambut kawan-kawan, dapat 50 sen seorang, lepaslah duit makan. Saya pernah juga beli nasi lemak di luar kemudian saya jual balik pada kawan-kawan di kolej dengan mengambil untung sedikit.

Walaupun apa yang saya lakukan nampak kecil, sebenarnya ia memberi pengalaman dan pengajaran berguna pada saya terutama dalam memahami dunia perniagaan.

Sebelum menyertai unit amanah, segala bentuk perniagaan saya buat daripada jualan langsung hingga kepada menjadi agen insurans. Ketika itu walaupun tidak mempunyai ramai kenalan di Kuala Lumpur, saya beranikan diri menegur dan menghubungi sesiapa saja yang berpotensi menjadi pelanggan saya. Cubaan menjadi agen insurans berhasil sehingga meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan. Ketika itu saya mengambil keputusan berhenti kerja tetap kerana tidak mampu mengimbangi dua pekerjaan sekali gus.

Ketika situasi insurans kurang memberangsangkan disebabkan kejatuhan ekonomi pada 1998, pendapatan saya merosot sehingga ke RM1,500. Saya nanik, tetapi bernasib baik mendapat peluang menjadi UTC selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Apakah cabaran yang dihadapi selepas menyertai unit amanah?

Saya menyertai bidang ini dengan pengetahuan yang kosong dan tak tahu apa yang saya jual. Namun, saya punya keinginan yang kuat dan berusaha mendalami setiap aspek perniagaan ini.

Selepas melalui saat jatuh bangun, Alhamdulillah, berkat kerja keras dan kesungguhan akhirnya berhasil. Pada tahun lepas saja jualan kumpulan saya mencecah RM122 juta. Saya mempunyai seramai 200 UTC dan seorang GAM terus di bawah saya.

Saya menyimpan cita-cita untuk menghasilkan 50 GAM dalam tempoh 10 tahun lagi. Saya yakin ia mampu dicapai jika ada kesungguhan dan keazaman.

Apa resipi kejayaan anda sehingga ke tahap sekarang?

Sebagai UTC , pertama sekali sanggup berhadapan dan menerima risiko ditolak. Saya selalu ingatkan kepada anak-anak didik saya bahawa penolakan bukanlah sesuatu yang peribadi sehingga boleh menyebabkan kita jatuh. Sebaliknya, dijadikan pendorong untuk terus berusaha.

Keduanya, saya memilih orang yang tepat untuk saya rekrut. Memilih orang yang tepat tidak bermakna yang berpendidikan tinggi saja sebaliknya, mereka yang menunjukkan kesanggupan untuk berusaha. Kalau diletakkan sasaran dia akan memastikan sasaran itu dapat dicapai. Sebagai ketua yang baik saya juga perlu bijak untuk memberi motivasi kepada orang di bawah saya untuk terus bersemangat.

Filed in: Unit/Saham Amanah Malaysia di Media

by: Arif

No Comments

Melayu masih lemah sistem kewangan

Oleh: LUKMAN MOIDIN

APABILA timbul skim cepat kaya dan pelaburan menerusi Internet, orang Melayu yang paling ramai berhimpun mendengar cerita dan sanggup menghabiskan wang untuk menyertainya.

Sedangkan orang Melayu tidak pernah mempersoalkan di mana wang itu dilaburkan dan siapa yang menguruskan dana tersebut. Betapa singkatnya minda bangsa kita untuk mendapatkan wang dengan cara mudah hanya dengan menaja beberapa orang kononnya akan mendapat pulangan yang lumayan.

Tetapi apabila terdapat sistem kewangan yang dipantau oleh kerajaan, kebanyakan kita mempersoalkan halal dan haram dan perkara remeh yang sengaja diperbesarkan untuk menyempitkan minda bangsa sendiri.

Dalam membicarakan soal-soal kewangan, orang Melayu agak jauh ketinggalan dalam sistem kewangan seperti bidang insurans, unit amanah dan lain-lain produk kewangan yang mendapat kelulusan kerajaan dan di bawah pemantauan Bank Negara.

Kelemahan ini wujud hampir di semua lapisan masyarakat Melayu dari yang berpendidikan tinggi hingga kepada mereka yang berpendidikan rendah. Amat mendukacitakan untuk mengakui bahawa hampir 80 peratus golongan profesional Melayu masih kurang memahami mengenai sistem perancangan kewangan yang boleh membantu menjana ekonomi keluarga mereka.

Sikap tertutup bangsa Melayu seperti ‘katak bawah tempurung’ masih tebal dalam soal membicarakan pengurusan kewangan khususnya melalui penasihat kewangan yang bertauliah. Malah keadaan ini juga mungkin disebabkan sikap negatif diri mereka sendiri (paling ramai) dan kemungkinan sikap ajen dan penasihat kewangan yang tidak profesional dan beretika.

Dalam membina kekuatan ekonomi, tugas perunding kewangan insurans dan wakil takaful adalah sangat penting demi memberikan pemahaman yang baik untuk bangsa kita mengubah paradigma dalam pengurusan kewangan.

Namun kekesalan utama bidang kewangan ini ialah apabila ada wakil takaful menjalankan tugas tanpa etika profesional semasa berurusan dengan pelanggan. Apa yang berlaku di depan mata menyebabkan penulis terfikir mengenai sistem dan amalan perniagaan takaful yang kononnya ‘Islamik’ adalah benar-benar tidak beretika.

Daripada 10 penasihat takaful yang ada, saya berani mengatakan hanya seorang dua daripada mereka menjual produk syarikat dengan profesional, dan selebihnya memburukkan syarikat insurans konvensional dengan pelbagai tohmahan kononnya haram dan tidak Islam. Malah di kalangan penasihat takaful juga mereka memburukkan syarikat takaful yang lain demi menambat hati pelanggan.

Untuk pengetahuan, ramai penasihat takaful berhijrah dari sebuah syarikat ke syarikat takaful yang lain demi mengejar komisen dan ganjaran. Apa yang berlaku ini adalah realiti yang menjejaskan reputasi takaful yang dilihat sebagai sistem kewangan Islam. Malah pemegang polisi menjadi mangsa apabila wujud pelbagai masalah yang berlaku disebabkan sikap penasihat takaful yang mementingkan diri sendiri.

Bank Negara melalui badan khas yang mempunyai kuasa perlu menyiasat bagaimana begitu ramai pelanggan insurans konvensional yang menamatkan polisi mereka melalui usaha wakil takaful yang bermoral rendah ini. Terdapat banyak bukti pelanggan dihasut dan diminta menulis surat memberhentikan polisi yang telah dibayar bertahun-tahun kerana dikatakan ‘haram’ menggunakan wang tersebut.

Sepatutnya menjadi dasar Bank Negara untuk bertindak tegas jika amalan ini dikesan. Maklumat atau info insurans yang dikeluarkan oleh BNM melalui kerjasama syarikat insurans dan takaful di dada-dada akhbar yang tertulis “Membeli polisi insurans hayat, jangan jadi mangsa kepada penukaran polisi” jelas tidak diendahkan oleh kebanyakan wakil takaful. Adakah info tersebut hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan tiada usaha konkrit menanganinya? Kita bimbang jika industri kewangan ini terjejas pastinya merugikan ramai pemegang polisi dan kaum keluarga mereka jika terjadi sesuatu.

Keutuhan sistem kewangan juga secara tidak langsung akan terjejas akibat sikap penasihat takaful yang sebegini.

Apa yang tidak diketahui oleh pemegang polisi insurans konvensional ialah kebanyakan sistem konvensional telah lama mematuhi pelaburan berasaskan syarak. Malah hal-hal yang meragukan seperti riba tidak lagi menjadi amalan syarikat insurans konvensional kini. Paling terbukti ialah sistem takaful sehingga hari ini masih tidak dapat menanding operasi insurans konvensional yang jauh cekap dan efisien.

Malah rungutan mengenai masalah tuntutan adalah amat minimum berbanding surat pembaca yang terpampang di akhbar dan banyak lagi masalah yang sebenarnya tidak diadukan secara terbuka. Inilah natijah yang ditanggung oleh operasi takaful kerana sikap tidak beretika wakil mereka dalam urusan menambat hati pelanggan.

Pengalaman seorang rakan yang pernah menjadi ajen insurans konvensional dan dipujuk menyertai sebuah syarikat takaful menjadi asas dan bukti kukuh apa yang sedang berlaku dalam industri takaful. Setelah mendaftar dan lulus sebagai ajen beliau telah menghadiri sesi penerangan dan mesyuarat oleh agensi takaful berkenaan selama beberapa minggu.

Akhirnya beliau mengambil keputusan menjalankan semula perniagaan insurans konvensional apabila mendapati ‘modal besar’ syarikat tersebut memasarkan produk mereka ialah dengan memburukkan insurans konvensional. Persoalannya adakah mereka ini benar-benar memahami sistem insurans konvensional.

Paling menyedihkan kebanyakan orang Melayu difahamkan bahawa maksud ‘konvensional’ adalah ‘haram’. Sedangkan merujuk Kamus Dewan, ‘Konvensional’ bermaksud sesuatu amalan, ciri-ciri atau lain-lain yang sudah diiktiraf secara meluas dan dipatuhi.

Seperti yang dinyatakan dalam satu dalil “ Janganlah engkau menghukum tanpa ilmu, kelak engkau akan menganiaya orang lain.”

Sudah sampai masanya Bank Negara mengambil tindakan proaktif terhadap amalan niaga wakil takaful seperti ini agar mereka tidak menjadikan amalan ini sebagai budaya kerja syarikat takaful yang semakin ketara. Sikap mereka yang seronok memburukkan pihak lain tidak pernah diajar dan dibenarkan dalam Islam. Apakah rezeki yang mereka peroleh dengan usaha ‘memijak’ orang lain mempunyai keberkatan ?

Adalah amalan niaga yang berunsur kotor seumpama ini dapat meningkatkan kefahaman orang Melayu terhadap sistem dan pengurusan kewangan yang berkesan. Lihatlah teras dan amalan niaga bangsa lain yang mengutamakan kepuasan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang memuaskan.

Jarang sekali kita mendengar sikap ‘menghentam’ orang lain dalam budaya niaga mereka. (Rujuk buku Rahsia Bisnes Orang Cina – Ang Wang Seng).

Orang Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam wajar mengubah budaya ini dalam segenap kontek khususnya dalam bidang ekonomi, perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Amalan bermoral dan membina kekuatan peribadi dalam kontek modal insan yang dibina dalam diri sendiri dan seterusnya masyarakat Melayu perlu terus diterapkan dan diingatkan sesama kita.

Filed in: Unit/Saham Amanah Malaysia di Media

by: Arif

1 Comment