Labur skim diiktiraf

Harian Metro
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak terpedaya dengan pelaburan melalui Internet yang kononnya berupaya menjana pulangan besar dalam waktu singkat.


Beliau berkata, setiap pelaburan memerlukan tempoh jangka masa yang panjang untuk mencatatkan keuntungan dan rakyat jangan terpedaya dengan pelaburan jangka pendek yang tidak diketahui asalnya.“Yang hendak hasil cepat, mungkin rugi cepat,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2007, di Kuantan, semalam.

Abdullah berkata, sekalipun kerajaan akan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengelolakan pelaburan haram seperti skim cepat kaya, sokongan dan kerjasama rakyat amat diperlukan bagi membanteras perkara itu.

“Rakyat perlu menolak skim sedemikian daripada terus berleluasa dan tidak memberi sokongan kepada bentuk pelaburan yang tidak diiktiraf.

“Saya kesal kerana kadangkala kita masih terpedaya dengan pelbagai bentuk instrumen yang kononnya berupaya menjana pulangan besar dalam masa singkat seperti yang hangat diperkatakan sekarang iaitu pelaburan melalui internet,” katanya.

“Saya berharap kita tidak langsung memberikan sokongan kepada bentuk pelaburan yang tidak diiktiraf seperti dimaksudkan tadi agar ia tidak terus berleluasa dan merugikan rakyat,” katanya.

Abdullah berkata, kini terdapat pelbagai produk unit amanah dan hartanah yang diuruskan beberapa institusi pelaburan, termasuk PNB yang mampu memberikan pulangan kompetitif setiap tahun.

Beliau berkata, penubuhan Amanah Saham Nasional, 26 tahun lalu, misalnya, memberi ruang kepada rakyat Malaysia, terutama Bumiputera untuk berjinak dalam pelaburan.

Katanya, kejayaan PNB yang turut membuka pelbagai dana unit amanahnya untuk kaum bukan Bumiputera menarik minat negara luar mengikutinya.

“Kerajaan sentiasa menyeru kepada pelabur tanpa mengira kaum dan agama untuk melabur bagi kesejahteraan jangka panjang kerana instrumen pelaburan seperti amanah saham berupaya menjana keuntungan,” katanya.- Bernama

Sementara itu, Abdullah mahu PNB terus menyaingi prestasi yang ditunjukkan syarikat-syarikat pengurusan pelaburan antarabangsa seperti Capital, Fedelity dan Vanguard yang mampu memberikan pulangan lebih besar.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*